Friday, 26 October 2012

Pendahuluan

   Pada 28 September 2012, saya telah menjalankan pengajaran makro untuk mata pelajaran Bahasa Melayu tahun 5B. Tajuk yang saya pilih ialah “ Berkelah di Tepi Pantai ”—Bahagian A. Saya telah menggunakan gambal tunggal dan kad perkataan sebagai alat bantu mengajar dalam pengajaran tersebut. Dengan bantuan rakan sekerja iaitu Cikgu Yap mengambil rakaman sepanjang aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Daripada rakaman saya dan maklum balas daripada rakan sekerja, saya telah mendapat kekuatan dan kelemahan pengajaran makro tersebut.

Kekuatan

     Semasa menjalankan pengajaran makro, saya dapat mengesan beberapa kekuatan dalam pengajaran saya. Antara kekuatan adalah saya dapat mengawal kelas dengan baik. Saya telah membuat persediaan yang rapi pada awalnya  dan menyampaikan isi kandungan pelajaran dengan baik. Saya dapat mematuhi masa yang telah ditetapkan dan menjalankan segala aktiviti yang dirancang dengan kemas dan teratur. Lakonan situasi pada sesi induksi dapat meningkatkan motivasi murid untuk belajar selain memberi keseronokan kepada murid. Saya dapati anak-anak murid cukup seronok dan teruja dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang diadakan. Bahan pengajaran yang saya sediakan dapat menarik perhatian murid untuk belajar. Suara saya yang lantang lagi tegas memudahkan murid mendengar dengan teliti dan sekaligus membantu pemahaman mereka terhadap pelajaran yang ingin disampaikan oleh guru. Segala arahan saya juga dapat dipatuhi oleh murid dan ini membolehkan saya menjalankan aktiviti yang dirancang dengan baik dan lancar. Selain itu, saya dapat menggunakan bahasa yang standard dan mudah difahami oleh murid ketika mengajar.

Kelemahan

Apabila saya memanggil murid untuk membina ayat secara lisan, segelintir murid tidak melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ini. Apabila saya tanyakan sebab, jawapan yang mereka berikan mudah sahaja, iaitu” malulah cikgu, jika saya bina ayat dengan perkataan yang tidak bersesuaian, nanti saya diketawakan oleh rakan-rakan pula.” Saya dapati seolah-olah mereka telah patah semangat untuk memahami dan memperkaya kosa kata mereka. Saya menyedari ramai di kalangan murid bukan Melayu  di kelas ini mempunyai asas bahasa yang lemah.

Selain itu, satu lagi kelemahan yang dapat saya perasan ialah kecuaian diri saya kerana tidak mencetak gambal tunggal dan mengedarkannya kepada murid-murid. Ini mengakibatkan murid-murid tidak dapat meneliti dengan lebih lanjut perbuatan yang dilakukan oleh setiap watak dalam gambar tunggal tersebut. Pada akhir pengajaran, saya tidak nenerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran sedangkan saya telah menulis rancangan pengajaran harian bagi hari tersebut.

Kelemahan yang seterusnya ialah saya tidak membimbing murid yang lemah dalam membuat latihan bina ayat. Ini mengakibatkan sesetengah murid tidak dapat menghabiskan latihan bina ayat. Sewaktu saya menyemak latihan bina ayat murid Tahun 5B, saya berasa sungguh terkejut kerana dapati walaupun mereka telah berada di tahap dua, tahap penguasaan kosa kata di kalangan murid ini sungguh terhad. Isi yang ditulis juga tidak berkembang. Selain itu, masih ramai murid yang melakukan kesilapan ejaan. Banyak ayat tergantung dibina oleh murid. Mereka menggunakan perkataan yang biasa mereka gunakan dan berulang-ulang apabila ingin menghuraikan sesuatu perkara. Contohnya, 1) Chee Ming dan abangnya bermain bola di tepi pantai dengan seronoknya. 2)Adik Chee Ming membina istana pasir dengan seronoknya. 3) Beberapa orang kanak-kanak bermandi-manda di laut dengan seronoknya.

  Saya telah berusaha mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran namun masih ramai murid yang mempunyai kosa kata yang amat terhad. Saya berpendapat lemahnya penguasaan kosa kata di kalangan mereka ialah disebabkan kurangnya penjelasan serta tumpuan terhadap pentingnya aspek kosa kata yang saya berikan sama ada semasa proses P&P atau aktiviti sampingan di luar bilik darjah. Kelemahan ini juga merupakan rentetan daripada pengabaian guru termasuklah saya terhadap kepentingan penguasaan kosa kata. Sekiranya saya tidak membetulkan keadaan ini, saya pasti murid kelas ini tidak dapat menjawab dengan baik soalan bina ayat dan juga soalan karangan bagi kertas 2 yang akhirnya akan menyebabkan kemerosotan nilai GNP sekolah saya.

Langkah-langkah Penambahbaikan

     Sebagai langkah penambaikan, saya akan menggalakkan murid-murid banyak membaca dan mengeja perkataan menerusi Program Bacaan Pagi. Bahan bacaan pagi yang mengandungi makna dan penggunaan kosa kata dalam contoh ayat akan diberi kepada murid-murid.  Selepas itu, saya akan memanggil murid untuk membina ayat tunggal atau ayat majmuk secara lisan. Saya akan membetulkan kesalahan tatabahasa, ejaan dan struktur ayat secara spontan. Dua minggu sekali, saya akan meminta murid mengaplikasikan penggunaan perkataan yang dipelajari dalam bina ayat atau karangan. Pada masa yang sama, saya akan menganalisis latihan bina ayat  murid. Saya juga akan meminta murid mencatat perkataan sukar daripada teks yang dibaca. Selepas itu, murid merujuk kamus untuk mengetahui maksud dan mencatatkannya dalam buku catatan.

 

No comments:

Post a Comment